Hidup di dalam sebuah negara yang dipengaruhi oleh pelbagai warisan
budaya dan pengaruh agama seperti di Malaysia, ada kalanya sesetengah
orang Islam tidak dapat membezakan di antara ajaran Islam dengan
yang bukan Islam. Ini termasuk cara merayakan Hari Raya Puasa.
'Hari Raya Puasa' atau 'Hari Raya Fitrah' dikenal di dalam istilah
Fiqh dengan nama 'Idul Fitri'. Tahukah anda mengapa perayaan ini
dinamakan dengan istilah demikian?
Bagaimanakah cara sebenarnya kita menyambut 'Idul Fitri, hari
yang mulia penuh barakah menurut Syara'?
PENGERTIAN 'IDIL FITRI
'Id bererti perayaan atau hari ulang tahun. Fitri pula bermakna
berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada hari raya (tanggal 1
Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.
Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi. Maksudnya, orang-orang
Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan
ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramadan,
bertadarus Al-Quran, qiyamullail, berdo'a, bersodaqah dan sebagainya.
Amalan-amalan ini telah melebur dan membersihkan segala dosa sehingga
keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru
lahir.
Berdasarkan penerangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa
'Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat lslam, yang berjaya
menundukkan nafsu ammarah sepanjang sebulan Ramadhan. Apabila
muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa,
dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertaqwa.
Inilah matlamat daripada ibadah puasa.
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu
bertakwa."(Al-Baqarah : 183).
PENGISIAN PROGRAM 'IDIL FITRI
'Idil Fitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang ditunjukkan
oleh Al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu:a. Membanyakkan Ucapan TakbirFirman
Allah:"Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan
hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah
(membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu,
supaya kamu bersyukur."(AlBaqarah : 185)Sabda Rasullullah
s.a.w. pula: "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid."Di
dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi
kepada dua:
Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang
bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk
atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya.
Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan
sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok
hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban)
sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat
'Id Al-Adhha dilaksanakan.
Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu
solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat.
Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir
selepas Asar 13 Zulhijjah.
Lafaz Takbir Hari Raya <image takbir>
b. Menunaikan Zakat FitrahWalaupun dibolehkan pembayarannya
sejak awal Ramadhan, yang afdhalnya ialah pada pagi hari Raya
selepas solat Subuh dan sebelum solat 'Id didirikan. Inilah menurut
hukum asal yang dipraktikkan pada zaman hayat Rasullullah s.a.w.
dan para sahabat serta tabi'in yang lalu.
Masa dulu
Zakat Fitrah pada peringkat awal yang lalu dalam bentuk makanan
asasi dan terus disampaikan kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat
mereka hendak menyambut 'Idil Fitri, hari mulia yang penuh barakah,
alangkah gembiranya mereka mendapat pemberian makanan itu.
Ibnu Abbas r.a. berkata:"Rasullulah s.a.w. memfardhukan
Zakat Fitrah itu sebagai (I) membersihkan kecacatan ibadah puasa
kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut, (2) di samping itu
menjadi habuan untuk orang-orang, miskin. Sesiapa yang menunaikannya
sebelum solat 'Id, maka zakatnya itu diterima. Tetapi yang membayarnya
selepas solat 'Id, ia menjadi sodaqah biasa." (Riwayat Abu
Dawud, Ibnu Majah dan disahkan oleh al-Hakim).
Masa kini
Kini di negara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam bentuk wang
ringgit sebagai ganti beras. Fakir dan miskin telah menerima habuan
sebelum Hari Raya dengan diberi pendahuluan oleh pihak Majlis
Agama Islam Negeri-negeri. Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar
lebih awal atau pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan
tugas amil memungutnya.
PERINGATAN
Sempena 'Idul Fitri, selain diwajibkan berfitrah, umat
Islam yang berkemampuan disunatkan memberikan sodaqah-sodaqah
yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian
barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.
c. Menghadiri Upacara Solat 'IdSekalian umat Islam tua atau
muda, lelaki dan perempuan termasuk yang haidh disunatkan menghadiri
upacara perhimpunan Solat 'Id, yang merupakan muktamar tahunan
bagi masyarakat Islam setempat.Kehadiran mereka sebagai menghayati
syi'ar keagungan Islam dan lambang perpaduan umat, di samping
itu mereka berpeluang bertakbir (mengagungkan Allah) beramai-ramai,
mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir dan mengaminkan do'a
yang dibaca oleh imam. Bagi yang tidak uzur berpeluang mendirikan
solat Hari Raya.
Daripada Ummu 'Atiyah r.a. ujarnya:"Kami disuruh membawa
gadis-gadis kecil dan wanita-wanita yang haidh pada dua Hari Raya
('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka menyaksikan kebajikan
dan do'a kaum muslimin, tetapi wanita-wanita yang sedang haidh
itu terpisah dari tempat solat." (Muttaqafaq 'alaih)
Untuk Hari Raya Puasa kita disunatkan menjamah juadah terlebih
dahulu, kemudian pergi ke musolla (tempat solat). Tetapi untuk
Hari Raya Haji sunat tidak makan terlebih dahulu, sebaliknya kita
bersegera ke upacara perhimpunan solat. Solat 'Idil Adha disegerakan,
lalu menyembelih qurban. Kemudian, kita pulang dengan membawa
daging qurban, lalu dimasak dan baru makan.
Mengikut Syara', sunat bagi kita mandi pada pagi Hari Raya dan
memakai pakaian serba baru atau yang bersih dan indah. Kemudian,
ketika kita pergi ke musolla (masjid/surau), pergi melalui satu
jalan dan pulang melalui satu jalan yang lain, dengan tujuan dapat
bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam.
Kita sama-sama mengucapkan salam 'Idil Fitri sambil berbalas
senyuman, sama-sama menyatakan gembira dan bersyukur ke hadhrat
Ilahi atas petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya
menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
d. Amalan-amalan Menjelang Hari Raya PuasaUmat lslam digalakkan
melakukan i'tikaf beramai-ramai di masjid pada malam-malam sepuluh
terakhir pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-30)
kerana mengharap bertemu malam Lailatul qadr, yang mempunyai nilai
lebih baik daripada seribu bulan.
Amalan ini dilakukan pada zaman hayat Rasulullah s.a.w., para
sahabat dan abad-abad berikutnya. Bahkan hingga kini masih dilakukan
besar-besaran di sesetengah negara lslam khususnya di Makkah.
Namun di negara kita kebanyakan umat Islam menyambut 'Idil Fitri
dengan cara melebihkan faktor fizikal atau lahiriah. Sejak awal
Ramadhan lagi mereka lebih tertumpu ke pusat membeli-belah, melengkapkan
persiapan dengan membeli pakaian, hiasan rumah dan sebagainya
secara berlebih-lebihan.
Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakan suri rumah lebih
menumpukan perhatian terhadap penyediaan kuih-muih yang pelbagai
jenis. Malam Hari Raya yang sepatutnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah
qiyamullail, telah dikorbankan kerana memasak ketupat, lemang,
rendang dan sebagainya.
Anak-anak tidak diajar mengucapkan takbir tetapi disogokkan
dengan permainan bunga api dan mercun, yang bukan sahaja membazir
wang ringgit malah membahayakan.
e. Sederhana dan Diredhai AllahUmat Islam wajib menilai semula
segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya
telah menjadi 'budaya' termasuk acara menyambut 'ldil Fitri. Ciri-ciri
yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya bangsa
yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah lslam hendaklah ditinggalkan.
Kita boleh menyediakan makanan. juadah dan kuih-muih untuk Hari
Raya tetapi biarlah dalam bentuk sederhana. Demikian juga persiapan-persiapan
seperti menghias rumah, pakaian, biarlah sederhana dan sesuai
dengan pendapatan keluarga.
Acara ziarah-menziarahi saudara-mara, kaum kerabat, orang-orang
yang berjasa kepada kita seperti guru-guru dan sahabat handai,
ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi
perlu dilakukan pada hari dan bulan lain, yang sesuai dari masa
ke semasa, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. Maksudnya:
"Ziarahilah saudara-mara kamu dari masa ke semasa, kerana
ia boleh menambahkan kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi
ibu bapa kita hendaklah dilakukan lebih kerap dan jangan menunggu
pada Hari Raya sahaja."
sumber :www.teennet.com.my